Sertai saya / Join me :

Tuesday, September 14, 2010

Penghayatan Dibulan Syawal

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kehadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Kita seakan-akan tidak sedar, bahawa waktu berlalu begitu pantas, bulan Ramadhan ini sudah berada di penghujung bulan dan beransur meninggalkan kita. Kita tidak akan bersua lagi bulan yang seperti ini, jika umur kita tidak dipanjangkan oleh Allah SWT.

Peluang hanya datang sekali dalam setahun. Hanya Allah SWT sahajalah yang berhak membalas ganjaran bagi setiap ibadat dan amalan kebajikan yang kita lakukan sepanjang bulan ini dengan harapan mendapat ganjaran yang berlipat ganda.

Amat rugilah bagi yang mengabaikannya, kerana dari sekian banyak ibadat yang di wajibkan ke atas kita, puasa merupakan ibadat khusus bagi Allah SWT khusus untukNya dan Dia akan membalasnya. Rasulullah SAW bersabda sepertimana tersebut sebuah hadis qudsi :

Bermaksud : "Setiap amal ibadat anak Adam itu adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya."

Berasaskan hadis ini jelas menunjukkan kepada kita, bahawa ibadat ini dengan ibadat-ibadat yang lainnya tidak sama di sisi Allah SWT. Allah SWT akan memberi ganjaran puasa itu dengan balasan mengikut kualiti puasa kita dan sejauh manakah keikhlasan dan kesempurnaan kita melaksanakannya. Oleh yang demikian, ganjaran bagi orang yang berpuasa itu di sediakan sebuah pintu khusus di dalam syurga nanti yang di namakan "Al-Rayyan". Rasulullah SAW bersabda :

Bermaksud : "Di dalam syurga ada satu pintu yang di panggil "Al-Rayyan", yang di khususkan untuk orang yang berpuasa melaluinya, setelah mereka masuk pintu itu akan di tutup, tiada lagi orang yang akan masuk melalui pintu tersebut".(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadar (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan".(Surah Al-Qadar: 1-3)

Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya.

Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah SWT samalah seperti ibadat seorang yang mengerjakan haji, jika ibadatnya selepas mengerjakan haji bertambah baik, itu menjadi tanda penerimaan Allah SWT terhadap hajinya itu dan ia beroleh Haji Mabrur.

Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah SWT. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.

Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah SWT menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri),

Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".(Hadis Riwayat Muslim)

Berpuasa sunat Syawal itu sangat di tuntut. Rebutlah peluang yang berada di hadapan kita itu nanti, sebagai menampal kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa kita pada bulan Ramadhan, amalan sunat ini selalunya untuk mencukupi yang kurang di dalam yang fardhu. Ia boleh dikerjakan berselang seli di dalam bulan Syawal, tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas hari raya pertama adalah lebih baik.

Berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda, oleh itu di samakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam hari di bulan Syawal itu di samakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa, maka dengan itu genaplah setahun.

Ini diperjelaskan lagi dengan sebuah hadis riwayat daripada Tsauban, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu di samakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal itu di samakan dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu jika di campurkan menjadi genap setahun".

Antara kelebihan berpuasa 6 dan faedahnya :

1) Berpuasa 6 hari di bulan Syawal itu adalah untuk menyempurnakan kekurangan yang terjadi pada puasa fardhu.

2) Mengiringi puasa sesudah puasa Ramadhan itu menjadi tanda peningkatan iman dan taqwa.

3) Berpuasa enam itu sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang di anugerahkanNya.

4) Amalan yang dilaksanakan akan berterusan, tidak hanya selesai di bulan Ramadhan sahaja.

5) Hormatilah bulan Syawal sepertimana kita menghormati bulan Ramadhan. Syawal bukan bererti kita bebas untuk melakukan apa sahaja. Syawal juga hendaklah di penuhi dengan pelbagai kebajikan, pelbagai aktiviti berfaedah samada untuk kita atau orang lain, di samping mengingati Allah SWT.

6) Bersyukur di atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita termasuk nikmat kesihatan, nikmat rezeki, nikmat dapat menjalani puasa dan menunaikan hak-hak Ramadhan dengan sempurna, sewajarnyalah segala nikmat itu kita syukuri.

Sambutan hari raya pula tidak sewajarnya dipenuhi dengan melakukan perkara yang sia-sia, elakkanlah dari pembaziran walaupun dalam keadaan kita mampu, jauhi hiburan yang melalaikan, tidak mendedahkan aurat, menjaga batas dan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, elakkan dari menghadiri majlis yang bertentangan dengan Islam dan sebagainya.

Lakukanlah segala kegiatan hidup berdasarkan keimanan semata-mata kerana Allah dan patuhlah syariatnya. Mudah-mudahan kehidupan kita di limpahi keberkatan dan ketenangan.

Peliharalah keluarga kita, terutama anak-anak kita dari terjebak dengan gejala sosial yang akibatnya akan merosakkan kehidupan mereka, tumpukanlah jiwa mereka ke arah membina umat yang bermaruah dan lebih bertanggungjawab. Jesteru itu, marilah kita pertahankan amalan agama kita hingga akhir hayat.

Berilah sokongan kepada semua pihak yang berhasrat untuk mengembalikan martabat agama, bangsa dan negara kita ke arah mencapai matlamat negara yang cemerlang serta mendapat keampunan Allah SWT.

Menjelang hari raya janganlah kita lupa kepada ibubapa kita, mereka yang kurang bernasib baik, warga emas, orang-orang tua yang memerlukan belaian kasih, mereka yang kurang upaya, mereka yang terlantar sakit, anak-anak yatim yang hilang tempat bermanja, ibu-ibu tunggal yang hilang tempat bergantung. Ziarahilah sanak saudara, jiran tetangga, sambil bermaaf-maafan serta eratkanlah hubungan silatulrahim antara sesama kita.

Firmah Allah dalam surah Al-Hasyr: 19, bermaksud : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amalan-amalan yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang fasik dan derhaka".

Sama-samalah kita berdoa semoga kehidupan kita di berkati Allah SWT. Amin!!!